Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland selepas mengetepikan pencabar dari Thailand, sebentar tadi.

Mereka, bagaimanapun, perlu mengharungi detik cemas apabila diajak bermain dalam set ketiga sebelum menumbangkan Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 21-18, 17-21, 21-15.

Mereka seharusnya berada dalam keyakinan tinggi untuk berdepan Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin dari Taiwan dijangka tengah malam ini) berbekalkan rekod tiga kemenangan berturut-turut di antara mereka.




Sementara itu, dalam satu lagi laluan separuh akhir menyaksikan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai, menumbangkan pilihan keempat dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 21-15, 21-10, sekali gus mengatur pertemuan menentang Robin Tabeling=Selena Piek (Belanda).

Ini merupakan percubaan mereka untuk mengulangi pencapaian ke pentas final super 300 itu buat kali ketiga berturut-turut.

Begitupun, juara beregu lelaki Masters Orleans minggu lalu, Choong Hon Jian-Haikal Nazri, terpaksa akur apabila perjalanan mereka di St. Jakobshalle Basel berakhir selepas tewas 16-21, 20-22.


Begitu juga dengan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang terpaksa tunduk 14-21, 21-23 kepada kehandalan Leo Carnando-Daniel Marthin.