Tiada wakil perseorangan wanita negara akan beraksi dalam kejohanan Badminton Terbuka Singapura bermula hari ini selepas taruhan tunggal, S. Kisona, terpaksa menarik diri.

Kali terakhir pemain berusia 23 tahun itu beraksi secara kompetitif adalah dalam Terbuka Thailand pada Mei lalu dan selepas itu, dia terpaksa menjalani pemulihan kecederaan lutut kanan.

Jelasnya, kecederaan itu, yang mula dialaminya sejak saingan Piala Uber sebelum ke Thailand, bukanlah kecederaan baru tetapi dia terpaksa melupakan saingan di Singapura kali ini bagi benar-benar cergas sebelum menyertadi Terbuka Taiwan pada 19 Julai ini.

"Saya akan menyertai Terbuka Taiwan dan Kejohanan Badminton Dunia, di mana saya sudah menjalani persiapan sejak tamat saingan Piala Uber lalu, jadi saya terpaksa menarik diri daripada beberapa kejohanan walaupun ada nama saya," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz.

"Benar (tarik diri daripada Terbuka Singapura), saya akan fokus untuk Terbuka Taiwan dan minggu ini saya akan ke sana.

"Pemulihan saya berjalan dengan amat bagus tetapi dalam kejohanan, tiada jaminan untuk kita tidak mengalami kecederaan," katanya.