Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, lolos ke peringkat suku akhir Terbuka Singapura BWF buat julung kalinya selepas gagal melakukannya dalam dua percubaan terakhir.

Aaron-Wooi Yik memerlukan 38 minit sebelum menyingkirkan wakil dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana, 21-18, 21-17 di Stadium Tertutup Singapura sebentar tadi.

Pertemuan pertama kedua-dua beregu itu menyaksikan mereka saling berentap hebat sejak awal pertarungan lagi, tapi Aaron-Wooi Yik nyata lebih tenang untuk mengawal situasi di setiap hujung set bagi mematikan langkah lawan seteru tersebut.

Dalam masa sama, finalis Masters Malaysia minggu lalu, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, tunduk kepada pilihan ketujuh, Liang Wei Keng-Wang Chang 18-21, 21-18, 13-21.