Elina Svitolina dan Simona Halep kedua-duanya tersingkir dalam pusingan pertama Kejohanan Tenis Terbuka Wanita Qatar awal pagi tadi manakala Garbine Muguruza dan Anett Kontaveit mara mudah ke pusingan berikutnya.

Bekas pemain nombor satu dunia, Halep, yang merupakan juara di Qatar pada 2014, tidak dapat menyaingi rentak lawan untuk memberikan Caroline Garcia kemenangan 6-4, 6-3 ke atas jaguh Romania itu.

Pilihan ke-10 kejohanan, Svitolina, turut melalui nasib sama apabila tewas 7-6, 5-7, 6-7 kepada Tereza Martincova selepas bertarung hampir tiga jam.

Bagaimanapun, pemain pilihan kelima, Muguruza -- finalis dua kali termasuk dalam edisi 2021 -- tidak berdepan masalah untuk mengatasi Sorana Cirstea 7-6, 6-1 dalam pusingan kedua manakala Kontaveit juga layak ke pusingan ketiga dengan kemenangan 6-2, 6-3 ke atas Ana Konjuh.

Dalam pada itu, juara bertahan, Petra Kvitova, turut menang mudah 6-3, 6-1 ke atas Irina-Camelia Begu.