Hasrat untuk menyaksikan beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, untuk mara jauh dalam Kejohanan Badminton Terbuka Perancis BWF tidak kesampaian apabila mereka terkandas dalam aksi pusingan kedua di Paris sebentar tadi.

Berdepan pilihan keempat kejohanan dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, beregu negara itu pada awalnya memberikan tentangan hebat dalam set pertama tetapi pada akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 18-21.

Aksi dalam sey kedua pula menyaksikan pasangan negara berkenaan, yang merupakan beregu nombor sembilan dunia, mensia-siakan kelebihan besar sehingga satu ketika membenarkan lawan memperoleh tujuh mata berturut-turut untuk ketinggalan 13-18 sebelum tewas 14-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama 47 minit.