Laluan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam Kejohanan Badminton terbuka Perancis BWF tamat di peringkat suku akhir selepas tewas secara set langsung kepada beregu juara dunia, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, di Paris sebentar tadi.

Berdasarkan tiga pertemuan terdahulu, pasangan negara itu ketinggalan 1-2 dan peluang untuk menyamakan rekod ke atas pasangan Korea Selatan berkenaan jelas tidak berhasil buat Aaron dan Wooi Yik.

Permulaan perlahan yang dipamerkan dalam set pertama mengundang padah, di mana mereka tidak pernah berada di depan dan biarpun berhasil mengikat kedudukan 19-19, Aaron dan Wooi Yik akhirnya terpaksa akur tewas 19-21.

Set kedua pula memperlihatkan penguasaan gandingan negara itu sehingga ke pertengahan aksi dan kelihatan mampu mengheret perlawanan ke set penentuan.

Namun, ketika kedudukan terikat 15-15, mereka membenarkan lawan memperoleh lima mata berturut-turut sebelum menamatkan pertarungan selama 43 minit itu dengan kekalahan 16-21.