Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, terkandas di pusingan-16 tewas 'straight set' 19-21, 16-21 di tangan pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, dalam Kejohanan Badminton Terbuka India 2024 yang berlangsung sebentar tadi.

Melihat kepada rekod pertemuan terdahulu di antara kedua-dua pasangan, Dechapol-Sapsiree merekodkan tiga kemenangan berbalas satu dalam empat pertemuan sepanjang tahun lalu.

Walaupun pasangan beregu negara yang menduduki kedudukan kesembilan dunia itu berjaya mendapatkan mata terawal pada set pertama, namun segala momentum yang dibina terhenti selepas direbut empat mata berturut-turut meninggalkan jurang tujuh mata dibelakang.

Cuba untuk mengejar kembali namun, tidak kesampaian dan menamatkan set pertama dengan keputusan 19-21.



Skrip yang sama berulang pada set kedua, apabila pasangan itu mendahului pada mata terawal namun kehebatan Dechapol-Sapsiree yang menduduki kedudukan ketujuh dunia bijak mengambil peluang, membenam Tang Jie-Ee Wei selepas banyak melakukan kesilapan mudah.

Terhukum dengan kesilapan yang dilakukan, perlawanan pada set kedua tamat dengan keputusan 16-21 sekali gus kemaraan ke suku akhir terhenti hanya di pusingan kedua.