Beregu campuran nombor satu negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, menghapuskan badi rentetan kekalahan berturut-turut kepada gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari apabila menumbangkan lawan itu dalam pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi sebentar tadi.

Kemenangan 2-1 dalam aksi kali ini menyaksikan Tang Jie-Ee Wei akhirnya meraih kemenangan pertama selepas tewas tiga kali dalam kesemua pertemuan terdahulu.

Permulaan perlawanan tampak seakan sekali lagi memihak kepada lawan dari Indonesia itu apabila Rinov-Pitha menguasai set pertama dengan 21-14.

Bagaimanapun, jangkaan itu terhenti apabila Tang Jie-Ee Wei berhasil menyekat hasrat Rinov-Pitha untuk menyelesaikan perlawanan dalam set kedua apabila menang 21-11, sekali gus mengheret perlawanan ke aksi penentuan.

Set penentuan menyaksikan aksi saling berbalas mata apabila Rinov-Pitha terus mengejar mata penyamaan tetapi Tang Jie-Ee Wei terus mengekalkan persembahan konsisten untuk gandingan nombor sembilan dunia itu semakin selesa menjarakkan kedudukan dan akhirnya mencatatkan kemenangan 21-11.

Aksi pusingan kedua esok menyaksikan Tang Jie-Ee Wei akan berdepan gandingan nombor tujuh dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai.