Perseorangan muda sensasi negara, Ng Tze Yong, meneruskan rentak cemerlangnya apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi sebentar tadi.

Berdepan lawan di ranking ke-79 dunia dari Perancis, Lucas Claerbout, Tze Yong, bagaimanapun, diberi tentangan luar biasa, di mana dia melepaskan tiga mata akhir sebelum tewas 20-22 dalam set pertama.

Namun, pemain berusia 21 tahun kelahiran Johor itu mempamerkan aksi lebih tekal pada penghujung set kedua dengan meraih enam mata berturut-turut untuk menang 21-15.

Tze Yong -- di kedudukan ranking ke-60 dunia -- sekali lagi diberikan tentangan sengit dalam aksi penentuan dan mempersia-siakan pendahuluan 11-6 sebelum bertukar gelanggang untuk diikat 13-13 tetapi dia tidak mengulangi kesilapan dalam set pertama apabila menamatkan pertarungan selama sejam 17 minit itu dengan kemenangan 21-18 dalam set ketiga.

Menanti wakil negara itu dalam peringkat suku akhir esok adalah pemain nombor 45 dunia dari Ireland, Nhat Nguyen.



Sementara itu, perseorangan lelaki profesional negara, Soong Joo Ven, terkandas dalam pusingan kedua selepas tewas kepada juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew, 12-21, 12-21.



*Kredit foto: Badminton Photo