Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, mencipta kejutan dalam Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong BWF apabila menumbangkan pemain pilihan keenam dari China, Han Yue, di Kowloon sebentar tadi, sekali gus layak ke separuh akhir.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu, Jin Wei tewas dua kali kepada pemain di ranking kesembilan dunia itu dan Han Yue hampir melebarkan rekod berkenaan apabila mudah memenangi set pertama 21-12.

Bagaimanapun, permainan sebenar Jin Wei bermula dalam set kedua, di mana dia tidak pernah ketinggalan sejak memungut mata pertama untuk meraih kemenangan 21-17 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Perseorangan negara itu, yang kini menduduki ranking ke-34 dunia, mendahului jauh 15-6 dalam set ketiga tetapi dia kemudian membenarkan lawan bangkit mengikat kedudukan 18-18.

Tersentak dengan kebangkitan itu, Jin Wei kemudian meraih tiga mata berturut-turut untuk layak ke separuh akhir selepas bertarung selama 52 minit.

Dia seterusnya akan bertemu seorang lagi pemain China, Zhang Yi Man, bagi penentuan ke final esok.