Jika diimbau kembali catatan lampau yang dinukilkan oleh juara dua kali pingat emas acara keirin di Sukan Asia di mana Dato' Azizulhasni Awang pernah mendedahkan beliau pernah digugurkan daripada program pelapis di Sekolah Sukan Bukit Jalil pada usia 18 tahun.

Ketika gawat untuk melalui situasi itu atlet itu telah diselamatkan oleh ketua kurulatih kebangsaan ketika itu, Datuk Ng Joo Ngan setelah legenda berbasikal itu melaksanakan rayuan.

Selain menyifatkan kehadiran Joo Ngan sebagai 'bantuan dari langit', 'The Pocketrocketman' juga menyifatkan ikon sukan berbasikal negara itu sebagai seorang 'figura ayah' buat dirinya.

"Ketika saya hampir lemas dengan ombak ujian yang membantai diri saya, saya menerima suatu nafas baru. Ade bantuan dari langit. Sungguh tidak disangka.

"Seorang manusia yang tidak ada apa-apa kaitan dengan saya, datang menghulurkan bantuan. Insan itu adalah seorang yang saya panggil ‘Uncle Joo Ngan," cerita Azizulhasni dalam entri di Facebook bertajuk 'Al-kisah seorang Cina' pada Januari empat tahun lalu.

"Saya yang ketika itu menetap di asrama atlet, telah ditarik segala kemudahan yang diberikan. Bermaksud asrama tempat penginapan ditarik balik, akses ke dewan makan juga di tarik balik dan begitu juga dengan kemudahan latihan. Ketika itu saya hilang segala-galanya.

"Saya juga tidak memberitahu emak akan berita ini. Saya tak nak emak saya risau dan sedih. Saya masih ingat yang saya berjanji dengan emak sebelum ke SSBJ yang saya akan jadi atlet negara suatu hari nanti dan juga tidak abaikan pelajaran. Bayangkan kalau dia tahu, sudah tentu hancur lebur hatinya," ujarnya lagi.

"Tapi kerana murninya hati seseorang itu bukan bergantung kepada warna kulit, bangsa mahupun agama, Uncle (Joo Ngan) tampil menawarkan saya untuk tinggal di rumah nya buat sementara waktu.

"Saya rasa sungguh bersyukur dan terharu atas bantuan yang diberikan, juga tidak menyangka Uncle (Joo Ngan) merayu kepada pihak atasan supaya memberikan saya peluang kedua, tanpa pengetahuan saya," tulis Azizulhasni lagi. - Astro Awani