Skuad badminton berpasukan negara menyapu bersih kemenangan dalam saingan peringkat Kumpulan A, Sukan Universiti Dunia untuk bergelar juara pusingan awal itu dengan menewaskan Poland 5-0 di Chengdu, China hari ini.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai tahap kecergasaan perseorangan wanita negara, S. Kisona, yang menarik diri daripada acara berpasukan berkenaan, yang difahamkan atas faktor kecederaan paha.

Kisona, dalam satu temu bual dengan wakil Astro Arena, Fariha Razak, berkata: "Setakat ini keadaan saya agak baik, semalam saya berjalan agak terhincut-hincut tetapi sekarang ia semakin baik selepas berjumpa doktor dan melakukan imbasan.

"Mereka menyarankan saya untuk berehat kerana terdapat sedikit koyakan di otot paha saya.

"Saya boleh katakan ia berlaku dalam kejohanan ini kerana sebelum ini, saya tidak pernah mengalami kecederaan paha.

"Sudah lama saya tidak mengalami kecederaan seperti ini kerana saya agak mengambil berat mengenai kecergasan saya.

"Sebagai seorang atlet, saya perlu menerima keadaan ini dan memandang ke depan memikirkan apa yang perlu dilakukan selepas ini," katanya.