Sekalipun dianggap laluan mudah ke final berdasarkan undian berpasukan lelaki, pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, tetap tidak meremehkan lawan yang bakal ditempuh jika layak ke separuh akhir Sukan SEA, 19-30 Ogos ini.

Peluang untuk acara berpasukan lelaki memperoleh pingat emas selepas 12 tahun dalam temasya itu dilihat cerah berdasarkan undian kelmarin, dengan Malaysia dijadualkan menentang Laos dalam perlawanan pertama.

Bagi Iskandar, tiada alasan untuk Malaysia tewas di tangan Laos apabila skuad negara dijangka berdepan Singapura dalam aksi separuh akhir.

"Agak seimbang tetapi saya rasa kelebihan kepada Malaysia. Mereka (Laos) memiliki beregu pertama yang kuat tetapi kami memberi kepercayaan terhadap Teo Ee Yi dan rakan lain untuk menghadirkan mata.

"Tetapi harapan utama adalah mengutip mata dalam acara perseorangan," katanya.

Berjaya mengelak Thailand dalam separuh akhir sudah cukup baik untuk Malaysia mencapai misi menamatkan kemarau pingat emas acara berpasukan selepas kali terakhir meraih emas pada 2005.

Mengetuai cabaran perseorangan lelaki negara buat kali pertama dalam Sukan SEA adalah tugas mencabar untuk Iskandar di mana dia kini hanya mahu memastikan kecederaannya tidak berulang sehingga temasya bermula.

"Saya bakal rasa apa yang dirasai Datuk Lee Chong Wei apabila beliau sering turun selaku perseorangan utama.

"Saya harap dapat turun selaku perseorangan utama dan mengutip mata pertama untuk mengurangkan tekanan pasukan dan meningkatkan peluang untuk menang," tambahnya.

Untuk rekod sejak 1959, Malaysia telah meraih 43 emas sejak badminton dipertandingkan.

Pada 2015 di Singapura, Malaysia pulang dengan dua emas daripada acara perseorangan lelaki dan beregu wanita.

Kali ini, tujuh emas ditawarkan dengan Arena Axiata bakal menjadi venue tumpuan untuk pemburuan emas bermula 22 hingga 29 Ogos.

Undian berpasukan lelaki:

Indonesia (#1)
Kemboja

Thailand (#3)
Vietnam

Myanmar
Singapura (#4)

Laos
MALAYSIA (#2)