Buru emas pertama negara atau sekadar layak ke Sukan Olimpik Paris 2024? Itu persoalan utama yang timbul mengenai tujuan asal Program Road to Gold (RTG).

Pengerusi Bersama Program RTG, Tan Sri Norza Zakaria, menegaskan setiap keputusan yang dibuat jawatankuasa program itu adalah berlandaskan beberapa faktor tertentu.

Ia merujuk kepada penyenaraian skuad hoki lelaki negara, pemain badminton perseorangan lelaki, Ng Tze Yong, dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Keputusan itu jelas menyebabkan program dengan peruntukan RM6.9 juta itu mula dipertikaikan ramai pihak.

Bahkan, sesetengah pihak juga berpendapat program itu sudah lari daripada tujuan asalnya memandangkan ia ditubuhkan bagi menyelaras usaha memenangi pingat emas pertama negara di pentas Sukan Olimpik.

Menjawab mengenai perkara itu, Norza berkata kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Mengapa hoki (lelaki) dimasukkan? Ia kerana mereka berada di ranking ke-10 dunia dan apa yang akan menyebabkan mereka untuk layak, yang paling penting adalah dengan memenangi pingat emas Sukan Asia pada September ini.

"Kami berpendapat bahawa dengan servis tambahan yang diberikan kepada pemain hoki, ia akan memberikan satu cetusan inspirasi untuk mereka memenangi pingat emas Sukan Asia dan layak secara automatik.

"Apabila mereka layak, apabila anda berada di ranking ke-10 dunia, atau mungkin di ranking kelima dunia, anda boleh menewaskan mana-mana lawan pada bila-bila masa.

"Kemudian mengapa badminton? Sebagaimana yang saya katakan tadi, kelayakannya berbeza.

"Untuk sukan badminton, jika kita mahu menghantar dua perseorangan (ke Sukan Olimpik), pemain di ranking 16 terbaik dunia sudah pasti dapat dihantar.

"Jadi, siapa lagi yang boleh layak buat ketika ini dengan proses kualifikasi yang akan tamat pada April tahun depan? Dia ialah Ng Tze Yong.

"Ia untuk memberikan sokongan tambahan supaya Ng Tze Yong dapat dipertingkatkan menjadi potensi pingat.

"Kenapa Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei? Ia kerana kami mahukan dua wakil seandainya mereka dapat berada dalam kelompok lapan terbaik.

"Dan kami dapat lihat perkembangan mereka yang hanya digandingkan pada Disember lalu, sudah pasti kami mahukan mereka berjaya. Kualiti yang dimiliki mereka menyebabkan mereka layak," katanya.

Menglas lanjut, Norza menambah: "Bagi saya, jangan kita perkecilkan kebolehan atlet kita kerana mereka adalah barisan hadapan kita.

"Saya berharap mereka yang berada di luar sana dapat menghentikan polemik ini dan memberikan sokongan padu (kepada atlet) kerana semua rakyat Malaysia mahukan pingat emas tersebut."