Bekas perseorangan wanita nombor satu negara, Soniia Cheah, menggambarkan dedikasi sebagai faktor penting sepanjang kariernya dalam sukan badminton.

Soniia, 29, mengumumkan persaraannya daripada sukan itu semalam selepas lebih 13 tahun membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Dia antara pemain yang mewakili negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun lalu walaupun kariernya kerap dibelenggu masalah kecederaan berulang.

Sebagai rekod, Sonnia memenangi pingat perak acara berpasukan Sukan Komanwel Gold Coast 2018, selain memiliki dua pingat perak Sukan SEA dan dua pingat emas peringkat remaja.

Ditanya satu perkataan untuk menggambarkan keseluruhan kariernya, Soniia berkata kepada wartawan Nadi Arena, Muiz Aziz: "Saya tidak memikirkannya tetapi jika anda tanya saya, ia adalah dedikasi.

"Kerana bagi saya, jika dedikasi saya kepada sukan badminton tidak cukup, saya tidak akan dapat bermain sehingga ke hari ini.

"Momen paling berharga saya dalam sukan badminton pula, saya boleh katakan yang ia adalah sewaktu peralihan dari pasukan remaja kebangsaan ke pasukan senior negara.

"Kerana ketika itu, saya perlu keluar daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil dan terus berlatih bersama skuad pelapis.

"Ia satu peralihan yang besar kerana pada usia 17 tahun, saya hanya ke sekolah selama dua bulan tetapi saya agak gembira kerana masih mendapatkan keputusan yang baik dan dapat mewakili negara dalam Sukan Olimpik Remaja di Singapura," katanya.