Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil, mahu pemain-pemain The Red Giants kembali melakar kemenangan apabila melayani kunjungan Penang FC dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Malah, tegas Nidzam keputusan positif di laman sendiri itu juga penting sebagai tanda penghargaan kepada penyokong-penyokong setia The Red Giants yang sentiasa berada di belakang pasukan tersebut selama ini.

“Kami hendak turun rasa yang bagus berdepan Penang FC, tambahan pula selepas dua kekalahan sebelum ini terutama ketika berdepan Kuala Lumpur City.

“Sejujurnya, apabila tewas kepada Kuala Lumpur sememangnya menjejaskan tumpuan pasukan tetapi inilah bola sepak yang kami jangkakan juga dan seharusnya tidak lagi berulang lagi.




“Kami bebas kecederaan dan penggantungan untuk perlawanan berdepan Penang FC, jadi kami akan turunkan kesebelasan terbaik pada malam esok (hari ini) dengan satu matlamat iaitu kemenangan,” katanya.

Aksi terakhir liga sebelum ini anak buah Nidzam mencatat kekalahan apabila tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur City FC dalam 'Derby' Lembah Klang Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.

Sebagai rekod, Selangor selepas mengharungi lima perlawanan mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan, dua tewas selain berdepan defisit satu gol untuk aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala FA di Petaling Jaya pada 3 Ogos depan selepas tewas 2-3 kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, 19 Julai lalu.

Kredit: Sinar Harian