Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky ingin beregu sensasi negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik untuk menjuarai sekurang-kurangnya dua kejohanan iaitu pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo pada 9 hingga 14 April dan Terbuka Indonesia pada 4 hingga 9 Jun ini.

Nada lantang itu disuarakan Rexy setelah menilai prestasi gandingan beregu lelaki itu yang dilihat semakin berani dan kemas ketika berdepan lawan masing-masing.

Mereka baru sahaja membuktikan kejayaan mereka apabila mara ke perlawanan akhir Seluruh England di Birmingham Arena pada 12 hingga 17 Mac lepas.

"Kita harapkan dengan baki kejohanan ini kita akan pastikan mereka dapat pamerkan aksi terpuji dalam Kejohanan Super 1000 dan Super 750.

"Setakat ini, kita lihat prestasi mereka pada kedudukan kelima dunia tidaklah begitu jauh ketinggalan dengan dua beregu lain di tangga keempat dan tangga ketiga.

"Saya tetap mahukan mereka memperbaiki ranking mereka terutama apabila memiliki peluang beraksi pada baki kejohanan dan saya mahukan mereka menjuarainya sekurang-kurangnya dua kejohanan supaya mereka terus mengungguli carta ranking dunia," ujarnya.