MALAYSIA 1 INDIA 3

Hasrat skuad hoki remaja negara untuk ke final Piala Remaja Asia tidak kesampaian apabila tewas 1-3 kepada India dalam aksi separuh akhir di Muscat, lewat malam tadi.

Gawang negara dibolosi seawal minit ke-10 gara-gara jaringan padang Dilraj Singh sebelum Rohit menyudahkan pukulan sudut penalti untuk menggandakan kelebihan India pada minit ke-45.

India kemudian selesa mendahului tiga gol apabila Sharda Nand Tiwari menyempurnakan satu lagi pukulan sudut penalti pada minit ke-53.

Malaysia memperoleh pukulan penalti pada minit ke-57 dan kesempatan itu tidak disia-siakan Azamuddin Syakir Kamaruddin tetapi ia telah terlalu lewat untuk merencanakan sebarang kebangkitan.

Dengan kekalahan itu, Malaysia akan bertemu Jepun, yang tewas 2-4 kepada Pakistan dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, bagi penentuan tempat ketiga malam ini.