Ketua jurulatih skuad B-23 Vietnam, Hoang Anh Tuan, menegaskan pasukannya akan turun dengan misi mengutip tiga mata ketika berdepan Malaysia dalam aksi kedua Kumpulan B, Piala Asia B-23 di Doha, Qatar malam esok.

Ini kerana skuad Naga Emas itu enggan memilih laluan sukar dan mahu menjadikan pertemuan kali ini sebagai tiket untuk mengesahkan tempat ke suku akhir

Dengan nada yakin, pengendali berusia 56 tahun itu percaya Vietnam mampu meneruskan kecemerlangan mereka selepas menewaskan Kuwait 3-1 dalam aksi pertama.

Anh Tuan turut memberi bayangan tidak akan melakukan rombakan besar terhadap kesebelsan utamanya sambil mahu pasukannya tetap berwaspada menghadapi Malaysia, yang diibaratkan seperti harimau terluka selepas tewas kepada Uzbekistan sebelum ini.

"Saya katakan kepada pemain bahawa mereka perlu melupakan kemenangan ini dan fokus kepada perlawanan seterusnya menghadapi Malaysia," katanya dalam sidang media seperti yang dipetik wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.

"Saya fikir kami perlu memperbaiki bahagian pertahanan, di mana mereka berada dalam tekanan besar dan tidak dapat memberikan yang terbaik dan saya tidak gembira dengan kad merah yang diraih pertahanan kami.

"Kami sentiasa bersedia dan perlawanan seterusnya ini amat penting kerana ia adalah kuncinya.

"Jika kami dapat keputusan yang baik, kami akan layak ke pusingan seterusnya," katanya.