Pemain pertahanan Harimau Muda, Harith Haiqal bin Adam Afkar, memohon seribu kemaafan kepada semua rakyat Malaysia di atas segala kegagalan mereka di Kejohanan Piala Asia B-23 Qatar berikutan tidak berjaya untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Dia mengakui kecewa selepas dan terpaksa akur apabila pasukannya tewas kepada pasukan Vietnam 0-2 walaupun sudah cuba sedaya upaya untuk meraih keputusan yang positif.

"Saya berani katakan dan memberikan jaminan bahawa kami merupakan pasukan yang lebih bagus daripada mereka semua.

"Tetapi jika kami bagus tidak menoktahkan peluang dengan jaringan berbanding mereka yang hanya ada satu peluang maka kita tetap akan kalah.

"Saya tahu semua di Malaysia sedang kecewa termasuk keluarga saya tetapi inilah bola sepak saya mewakili semua pemain memohon maaf, kami sudah melakukan yang terbaik tetapi kami sedar kami tidak cukup bagus.

Dalam pada itu, Luqman Hakim Shamsudin, gembira dengan prestasi semua pemain di atas padang kerana telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik.

"Banyak peluang yang kita lepaskan. Tetapi saya lihat apa yang telah pasukan lakukan saya gembira kerana semua pemain memberikan persembahan terbaik mereka dengan mentaliti kemenangan dan tidak mahu mengalah.

"Saya bangga dengan semua pemain tetapi rezeki tidak menyebelahi kami semua." katanya.