Ketua pasukan Harimau Muda, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, berasa kecewa dengan prestasinya sendiri dalam sepanjang Piala Asia B-23 selepas tewas berdepan Kuwait dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Stadium Al-Janoub, awal pagi tadi.

Dia beranggapan faktor saingan liga yang masih belum bermula juga menjadikan aspek kecergasan pasukan yang ketika ini tidak berada dalam keadaan memuaskan untuk bersaing dalam kempen bola sepak yang kompetitif itu.

Begitupun, pemain tengah Selangor itu bertanggungjawab penuh atas kekalahan pasukannya itu selepas skuda negara tewas berturut-turut dan gagal ke peringkat kalah mati.

"Saya memang kecewa dengan diri saya sendiri kerana ini adalah kempen kedua saya dalam Piala Asia B-23 dan merupakan yang terakhir buat saya, ia bukan hari yang terbaik buat saya.




"Saya tahu ramai orang tidak suka pada saya, saya harap perkara ini dapat menjadi pengajaran untuk memperbaiki diri saya pada masa akan datang. Saya bermain dengan teruk dalam setiap perlawanan.

"Saingan liga masih belum bermula lagi maka kami tiada kecergasan yang cukup. Memandangkan saya pemain lama maka mereka mengharapkan kepada saya jadi sebagai ketua pasukan, saya mengambil tanggungjawab ini." katanya selepas perlawanan.