Kapten pasukan, Joel Chima Fujita, mengakui Jepun mengambil pendekatan yang bersifat 'berjaga-jaga' dalam kemenangan 1-0 ke atas China selepas penyingkiran Ryuyu Nishio memaksa The Young Samurai Blue di ambang kekalahan ketika aksi pembukaan Kumpulan B Piala Asia B-23.

Pemain tengah St-Truiden menjadi tunjang kejayaan skuad kendalian Go Oiwa di Stadium Jassim bin Hamad termasuk gol yang disumbat Kuryu Matsuki.

Matsuki telah memulakan permainan di bahagian tengah tetapi selepas Nishio diarah keluar padang ekoran membentes pemain China, Jia Feifan, Oiwa terpaksa mengambil keputusan menggantikan Rihito Yamamoto dengan pertahanan Seiji Kimura dan Jepun mengambil pendekatan yang lebih konservatif sebagai hasilnya.

“Saya fikir kami boleh bermain lebih baik, tetapi pada peringkat awal separuh masa pertama kami dilayangkan kad merah,” kata Fujita, yang dinamakan Pemain Paling Bernilai.

“Bagaimanapun kami dapat bermain dengan baik dan kami mendapat keyakinan. Semoga kami dapat meneruskan dan memenangi perlawanan seterusnya.

“(Kad merah) menjadikannya satu situasi yang sukar, tetapi saya bercakap dengan Matsuki dan memberitahunya kami perlu bersabar dan kami perlu solid ketika bertahan. Kadang-kadang jika kita mempunyai peluang untuk maju, kita harus cuba untuk mendapatkan gol kedua. Tetapi kami perlu bersabar.”