Menerusi kemas kini laman Instagram pertahanan Chelsea itu, Thiago Silva, mengesahkan yang dia akan meninggalkan Chelsea pada penghujung musim apabila kontraknya tamat.

Bekas pemain Paris Saint German (PSG), itu menyertai The Blues pada tahun 2020 dan sudah merekodkan 151 penampilan bersamaan 2,264 minit permainan bersama Chelsea dalam semua kejohanan.

A post shared by Chelsea FC (@chelseafc)


Sepanjang empat tahun bersama sejak hari pertama tiba di London, Silva, telah menjaringkan sebanyak tiga gol dan sudah mengumpul empat trofi kejuaraan besar Eropah.

"Pasukan ini amat bermakna buat saya. Saya datang ke sini dengan niat hanya tinggal selama satu musim sahaja dan pada akhirnya secara tidak langsung ia menjadi empat tahun di sini.

"Ia adalah cinta yang tidak dapat digambarkan. Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih," katanya.

Kendatipun begitu, pemain kebangsaan Brazil itu terbuka untuk kembali ke Stamford Bridge sekiranya dia telah bersara sebagai pemain bola sepak.

"Ucapan selamat tinggal hanya untuk mereka yang pergi dan tidak akan pernah kembali. Saya berhasrat untuk kembali ke sini suatu hari nanti," tambahnya.