Pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir, menganggap alasan kecergasan dalam permainan (match fitness) yang diberikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atas kegagalan Harimau Muda dalam Piala Asia B-23 di Qatar baru-baru ini sebagai kesilapan badan induk itu sendiri.

Bekas pemain kebangsaan itu menegaskan masalah berkenaan tidak akan berlaku sekiranya FAM mempunyai perancangan rapi untuk menghadapi kejohanan di Qatar itu.

Terdahulu, FAM mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu, yang menamatkan saingan di tangga tercorot Kumpulan D tanpa sebarang mata.

Badan induk itu, menerusi pengarah teknikalnya, Scott O'Donnel, merumuskan bahawa aspek kecergasan dalam permainan menjadi penyebab utama pemain negara gagal memberikan aksi terbaik selepas berehat panjang.

"Kalau kita lihat, persiapannya hanya sebulan dan kalau kita kaji, perlawanan terakhir yang dilalui mereka di peringkat liga domestik B-23 adalah pada November lalu," katanya seperti yang dilaporkan Astro Arena.

"Sekiranya mereka celik, sudah tentunya mereka sudah melakukan perancangan lebih awal untuk memastikan skuad ini setidak-tidaknya mampu memberikan saingan.

"Kerana kita masih memiliki pemain yang berkualiti. Kalau kita lihat, meerka mempunyai keinginan tetapi daripada segi persiapan pasukan, ia tidak lengkap," katanya.