SINGAPURA 2 THAILAND 4

Thailand bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Singapura 4-2 dalam aksi Kumpulan A, Piala ASEAN Mitsubishi Eletric (AMEC) di Stadium Nasional Singapura sebentar tadi.

Keputusan itu secara tidak langsung menghidupkan kembali peluang Harimau Malaya menjelang perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Jumaat ini.

Syawal Anuar dan Faris Ramli meletakkan pasukan Seberang Tambak itu di depan dengan gol jarak jauh gemilang, masing-masing pada minit ke-10 dan 34.

Pada ketika itu, peluang buat Harimau Malaya kelihatan semakin tipis memandangkan Singapura akan mengesahkan kelayakan dan Malaysia perlu menewaskan negara itu dalam perlawanan terakhir sambil mengharapkan Kemboja melakukan kejutan ke atas Thailand dalam satu lagi perlawanan -- perbezaan jaringan akan menjadi penentu pasukan mana yang akan layak.

Bagaimanapun, Thailand tidak membenarkan situasi itu berlaku apabila Patrick Gustavsson merapatkan jurang dalam waktu kecederaan separuh masa pertama sebelum Suphanat Muenta menyamakan kedudukan pada minit ke-52.

Gol kemenangan Thailand diperoleh dalam waktu kecederaan apabila semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Peeradon Chamratsamee tidak berada di kedudukan ofsaid ketika melakukan penyudah dan Teerasak Poeiphimai menambah satu lagi gol tidak lama kemudian.

Dengan keputusan itu, skuad negara hanya perlu menewaskan Singapura dalam aksi terakhir pada Jumaat ini sambil berharap Kemboja tidak melakukan kejutan menewaskan Thailand dengan jaringan besar di gelanggang lawan untuk layak ke separuh akhir.