Noah Lyles membuktikan sekali lagi bahawa dia adalah atlet pecut yang perlu ditewaskan di Paris dan setelah membungkam empat pesaingnya menjelang Sukan Olimpik yang membuka tirai Sabtu ini di Perancis.

Juara 100 meter dan 200m dunia, Noah Lyles meletakkan dirinya sebagai pelari yang perlu diatasi selepas beraksi cemerlang dalam saingan Diamond League di London Sabtu lalu.

Lyles mencatatkan masa terbaik peribadi 9.81s untuk memenangi acara terakhirnya sebelum Sukan Olimpik.

Atlet Amerika Syarikat itu menewaskan empat pesaingnya dalam Sukan Olimpik, Akani Simbine dari Afrika Selatan, yang berada di tempat kedua dengan 9.86s, Letsile Tebogo dari Botswana, ketiga terpantas yang melakukan catatan 9.88s iaitu Ackeem Blake dari Jamaica.

Lyles mempamerkan kualiti yang hebat untuk melepasi ke garisan penamat selepas Tebogo nampaknya mempunyai permulaan yang lebih baik.

Walaupun pesaingnya yang lain seperti Kishane Thompson, Ferdinand Omanyala, Oblique Seville dan Kenny Bednarek tidak berada di London, cara Lyles mendominasi perlumbaan menunjukkan sukar untuk menghalangnya di Sukan Olimpik.

“Catatan peribadi terbaik dan semakin pantas sebelum Paris. Saya mahu melakukan catatan bawah 9.80s,” kata Lyles selepas perlumbaan.

“Saya tahu kami akan mendapat perhatian lebih, saya telah menunggu saat ini selama enam tahun! Saya hidup untuk detik-detik terbesar, lebih banyak mata memandang lebih baik saya beraksi. Sebaik sahaja saya berada di balapan apabila TV dihidupkan dan orang ramai menonton, saya akan menampilkan persembahan.”

Menuju ke Paris, hanya Thompson (9.77s) dan Omanyala (9.79s) telah berlari lebih pantas berbanding Lyles tetapi kedua-duanya tidak bersaing dengannya musim ini jadi sukar untuk menilai apa yang bakal berlaku di Paris nanti.