Pemain skuad hoki Australia di Sukan Olimpik Paris, Thomas Craig, ditahan polis Perancis selepas dia disyaki membeli dadah, menurut laporan media Rabu lalu.

The AFP melaporkan pemain tengah berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pada jam 12:30 pagi selepas 'membeli dadah jenis kokain'. Dia didapati membawa kira-kira satu gram kokain.

Penjual itu dilaporkan berusia 17 tahun membawa beberapa jenis dadah termasuk pil ekstasi dan dadah sintetik, yang turut ditahan.


Laporan oleh Australian Broadcasting Corporation mengatakan bahawa Craig telah dibebaskan dengan amaran. "Selepas ditahan dalam tahanan polis, pemain hoki itu diserahkan kepada perwakilan pendakwa raya, dan diberikan amaran jenayah kerana menggunakan narkotik," katanya.

Menurut chef de mission Australia Anna Meares, Craig telah berpindah keluar dari perkampungan Olimpik dan 'akan kehilangan semua keistimewaan Olimpiknya'.

Craig adalah pemenang pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo tiga tahun lalu. Dia telah bermain lebih daripada 100 perlawanan untuk pasukan kebangsaan, menurut ABC.