Perjalanan beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, terhenti di separuh akhir apabila tewas kepada pasangan Thailand sebentar tadi.

Turun beraksi dalam perlawanan pertama di Gimnasium Wilayah Kumamoto, Soon Huat-Shevon bertemu Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand.

Set pertama menyaksikan pasangan negara itu berjaya memenangi set pertama, mempamerkan corak permainan yang berkualiti dan kemas di jaring, membenarkan mereka menang 21-18.

Skrip sama dipamerkan dalam set kedua, bagaimanapun wakil Thailand itu berjaya memastikan perlawanan diheret ke set penentuan menerusi kemenangan 22-20.

Momentum yang kini memihak Dechapol-Supissara, mereka cemerlang memimpin set penentuan sebelum memastikan kemenangan 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung satu jam dan lapan minit itu.