Terlalu awal untuk menilai prestasi atlet negara musim 2024 kerana apa sahaja boleh berlaku untuk musim ini.

Menurut wartawan Astro Arena, Syifa Nasir, hampir kesemua pemain negara diletakkan dalam undian maut Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia namun tidak menafikan juga, mereka mampu untuk melakar kemenangan ke atas lawan mereka.

"Apa pun boleh terjadi dalam sukan badminton.

"Mungkin pemain yang disangka tiada peluang untuk menang boleh melakar kejutan menewaskan pemain pilihan pertama atau kedua dalam pusingan pertama sekali pun," kata Syifa Nasir.

Beregu lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi adalah antara yang bakal bertemu pasangan pilihan ketiga kejohanan dari Chinese Taipei, Lu Ching Yao dan Yang Po Han.

"Walaupun mereka berada dalam kedudukan lebih rendah daripada beregu negara itu, tetapi pasangan dari Chinese Taipei itu adalah pilihan ketiga kejohanan," kongsi Syifa.

Walaupun Teo Ee Yi baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut, Syifa meletakkan harapan untuk mereka melakar kejutan atau kemenangan 'langkah kanan' buat pasangan itu.

Terbuka Malaysia bakal membuka tirai esok hingga 14 Januari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.