Menjelang satu lagi aksi tumpuan minggu ini skuad The Red Giants menyambut kedatangan Penang ke kubu keramat Selangor berbekalkan DNA Brazil dan bermotivasi tinggi untuk kejutkan skuad kendalian Nidzam Jamil itu.

Kombinasi berbisa penyerang, Neto Oliveira dan Rodrigo Dias yang sudah meledak dua gol secara total disamping bantuan jaringan menjadikan mereka berada dalam radar Selangor.

Penang turut memiliki pertahanan berpengaruh, Rafael Vitor yang bertanggungjawab menjadikan skuad Harimau Kumbang itu hanya dibolosi dua jaringan selepas lima aksi Liga Super 2024/2025.





"Saya rasa pemain tumpuan mereka Rodrigo dan Neto, pemain yang bertubuh kecil tapi berbahaya, Adib Raop di sebelah kiri yang perkembangannya sangat baik di bawah kendalian Akmal Rizal.

"Saya fikir pasukan mereka mempunyai individu yang mampu mengubah cara mereka bermain dan kita perlu lebih berhati-hati.

"Tetapi sekali lagi saya katakan kita tumpukan kepada cara permainan kita dan sikap ketika bermain. Itulah yang penting," kata jurulatih Selangor, Nidzam Jamil.

Dua kekalahan berturut-turut memaksa pengendali Selangor itu, untuk kembali bergantung harap kepada perancang permainan utama, Yohandry Orozco.

Orozco yang terlepas aksi terdahulu ekoran layangan kad merah -- dan atas faktor itu, sekembalinya dia bagi pertemuan menentang Penang -- ianya akan membawa impak besar dalam serangan skuad Gergasi Merah Kuning.

"Sejujurnya ada perkara yang akan kita ubah, disebabkan kembalinya Orozco dan Bani Hani.

"Tetapi sekali lagi, cara permainan akan kita kekalkan dalam satu atau dua perkara, selain daripada itu saya tak dapat lihat apa-apa perkara yang perlu diubah.

"Perlawanan terakhir kita ketika menentang Terengganu tempoh hari dan kita kalah. Kita tak seronok dengan kekalahan di tempat lawan.

"Tetapi ada banyak perkara positif yang kita raih daripada itu, dan kita akan bawa sikap dan cabaran yang sama untuk menentang Penang nanti," Nidzam Jamil.