Kesebelasan utama Johor Darul Ta’zim (JDT), diharap dapat memberikan aksi terbaik ketika melayan kunjungan Terengganu FC bagi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Jumaat.

Menurut pengendali skuad Harimau Selatan itu, Hector Bidoglio, kesemua pemain juga diharap untuk kekal fokus di sepanjang perlawanan dalam usaha meneruskan momentum kemenangan pasukan.

“Sebenarnya, kesemua perlawanan yang kami diharungi setakat ini merupakan perlawanan yang sukar dan mencabar.

“Bagaimanapun, ia sesuatu yang bagus bagi membuatkan pasukan kita menjadi lebih fokus dalam mengharungi setiap perlawanan.

“Kesemua perlawanan ini bukan bermaksud hanya bagi saingan Liga Super, tetapi bagi saingan merebut trofi bagi Piala FA, kejuaraan (Piala Malaysia), tetapi juga sebagai persediaan untuk mengharungi saingan di peringkat saingan ACL (Liga Juara-Juara AFC) Elite, tidak lama lagi,” katanya.

Bidoglio berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan skuad kendaliannya itu bagi berdepan cabaran skuad Penyu itu.


Untuk rekod, Terengganu FC merupakan pasukan tunggal dalam saingan Liga Super yang pernah menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim setakat ini, apabila mencatatkan kemenangan 1-0 pada saingan musim 2021 lalu.

Sementara itu Bidoglio berkata, dia gembira menyaksikan kesemua pemain kini kelihatan bersedia menjelang aksi berdepan skuad peteh itu.

“Kesemua pemain kini kelihatan lebih fokus kerana mereka tahu ada banyak kejohanan yang perlu diharungi selepas ini.

“Apa pun, perlawanan dengan Terengganu FC, dilihat sebagai satu perlawanan yang tidak boleh dipandang ringan oleh pemain,” katanya. - Sinar Harian