'Kisona mampu jadi ikon perseorangan wanita', itu perkongsian jurulatih perseorangan baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM), James Chua, yang menyatakan kategori perseorangan wanita memerlukan ikon bagi melonjak prestasi mereka.

Ini susulan ketandusan pemain perseorangan wanita yang berprofil tinggi di persada antarabangsa.

"Bahagian perseorangan wanita tidak cukup memberikan impak di pentas antarabangsa. Kami akan berusaha untuk memperbaikinya dan Kisona adalah watak yang cukup penting bagi pemain-pemain muda lain untuk dijadikan sebagai penanda aras kepada pemain-pemain muda," kata James.

James turut berkongsi bahawa dia perlu masa bersama pemain-pemain wanita negara sebelum mampu memberikan perancangan yang spesifik.

Ini ekoran rata-rata pemain mempunyai kecederaan ringan dan kecederaan serius yang perlu menjalani fasa baik pulih terlebih dahulu sebelum semua perancangan dapat dikenal pasti.

"Buat masa ini, rata-rata pemain negara perlu meningkatkan lagi kemampuan daripada segi fizikal dan teknikal. Mereka sentiasa memiliki semangat yang tinggi dan selepas setiap pemain ini bebas daripada sebarang kecederaan, kami akan berusaha untuk mendapatkan keputusan yang positif dalam kejohanan yang bakal disertai."