PERANCIS 14 GIBRALTAR 0

Perancis membelasah 10 pemain Gibraltar 14-0 di Nice, sekali gus mencipta rekod baru kemenangan terbesar dalam pusingan kelayakan Euro 2024 awal pagi tadi.

Les Bleus sudah pun mengesahkan kelayakan ke kejohanan utama itu selaku juara Kumpulan B menjelang pertemuan berkenaan tetapi mereka langsung tidak memberikan sebarang ruang buat Gibraltar, yang pemainnya, Ethan Santos, terjaring gol sendiri seawal minit ketiga sebelum dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain baru berusia 17 tahun Perancis, Warren Zaire-Emery.

Selepas insiden kad merah itu, Perancis terus mengganas tanpa sebarang simpati buat Gibraltar di mana Kylian Mbappe menjaringkan hatrik, Kingsley Coman dengan dua gol dan pemain gantian, Olivier Giroud, turut menghasilkan gol berganda pada lewat permainan.

Marcus Thuram, Zaire-Emery, Jonathan Clauss, Youssouf Fofana, Adrien Rabiot dan Ousmane Dembele turut mencatatkan nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.

Zaire-Emery, dalam pada itu, turut memahat sejarah tersendiri sebagai pemain termuda melakukan penampilan pertama buat pasukan kebangsaan itu pada usia 17 tahun dan 255 hari.

Keputusan itu menyaksikan Perancis mengatasi rekod 13-0 yang dilakukan Jerman ke atas San Marino dalam pusingan kelayakan Euro pada September 2006.