Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, yakin Shah Firdaus Sahrom mampu mencipta kejutan dalam acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis bermula Rabu ini.

Shah Firdaus akan beraksi buat kali pertama dalam acara keirin menerusi penampilan keempatnya dalam Kejohanan Dunia.

Dia kini menjadi sandaran negara dalam acara itu memandang Azizulhasni, yang merupakan juara dunia keirin pada 2017, tidak dapat menyertai edisi kali ini kerana masalah kesihatan.

Bagaimanapun, Azizulhasni yakin Shah Firdaus mampu mencipta kejutan di Perancis.

"Tentangan utama buatnya adalah bekas juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Dan saya rasa seteru yang kedua adalah Nicholas Paul (Trinidad & Tobago).

"Saya rasa Shah ada kekuatan dan kemampuan untuk mengalahkan mereka tetapi yang utama, dia memerlukan taktikal yang betul, yang kedua dia perlu mempercayai dirinya sendiri dan yang ketiga, dia perlu mendapatkan posisi terbaik supaya tidak terkepung dan tidak terhalang untuk menggunakan kemampuannya.

"Saya dapat nampak perkembangan positif daripada segi saiz fizikalnya dan kekuatan kayuhannya, memang meningkat naik," katanya.