Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Hassan Sazali Waras, mengakui pasukannya perlu memperbaiki kerapuhan di benteng pertahanan meskipun sudah mengesahkan kelayakan ke separuh akhir Kejohanan AFF B-19.

Harimau Muda sah layak ke separuh akhir selepas meraih kemenangan tipis 4-3 ke atas Timor Leste dalam aksi Kumpulan B di Stadium Madya, Jakarta semalam.

Dalam perlawanan itu, Adam Farhan Faizal menjaringkan gol berganda sambil Najmudin Akmal Kamal Akmal dan Aliff Izwan Yuslan turut mencatatkan nama selaku penjaring tetapi barisan pertahanan Malaysia dibolosi sebanyak tiga kali dan hampir berputih mata.

Bagi Hassan Sazali, keputusan itu menunjukkan bahawa pasukannya boleh menjaringkan gol tetapi mereka perlu memperbaiki kerapuhan pertahanan mejelang aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Laos di Bekasi petang esok -- yang akan menentukan pasukan mana akan bergelar juara Kumpulan B.

"Alhamdulilah, pasukan kami telah berjaya mengutip tiga mata penuh dan melayakkan diri ke separuh akhir," katanya kepada Astro Arena.

"Dengan kemenangan tipis itu, ia sebenarnya membimbangkan saya, di mana kami boleh menjaringkan gol tetapi dalam masa sama kami dibolosi tiga gol.

"Jadi, saya perlu melihat kembali rakaman daripada pasukan analisis saya bagi mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang terdapat ketika pihak lawan menjaringkan gol.

"Kami masih ada satu lagi perlawanan menentang Laos di Bekasi petang esok.

"Selepas perlawanan semalam, tiada sebarang kecederaan serius, cuma ada kecederaan ringan sahaja. Mereka hanya memerlukan sedikit pemulihan.

"Insya-Allah, mereka akan lebih segar dan bertenaga bagi perlawanan yang akan datang," katanya.