Di sebalik kemelut membabitkan bekas Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Negara, Datuk Misbun Sidek, dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), masih ada sinar di sebalik kekusutan itu.

Ia berbentuk permata baru perseorangan lelaki negara, Justin Hoh, yang bertekad untuk memanfaatkan setiap ajaran Misbun bagi memenuhi aspirasi peribadi bergelar juara di pentas dunia.

Misbun menganggap Justin sebagai pengganti terbaik buat legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, dalam membawa cabaran negara di pentas tertinggi suatu hari nanti.

Sejak dibimbing Misbun pada 2020, Justin diolah jurulatih legenda itu sehingga menjadi seorang bakat paling meningkat naik, di mana dia melangkah ke lima final saingan bertaraf caraban dan siri antarabangsa selain menjuarai empat daripadanya.

BAM tanpa membuang masa menyerap pemain berusia 19 tahun itu ke dalam skuad utama negara pada penghujung tahun lalu walaupun ia disifatkan Misbun sebagai terlalu awal.

Justin dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, berkata: "Saya amat berterima kasih kepada jurulatih saya.

"Sejak dari dahulu, dia melatih saya selama tiga tahun ini dan tanpanya, saya tidak mungkin dapat berdiri di mana saya berada sekarang.

"Dia mengajar saya bagaimana untuk menjadi pemain yang bagus dan berdisiplin.

"Saya sentiasa mengikut nasihatnya dan sentiasa membawa disiplin yang diajarnya sehingga berada di dalam skuad senior.

"Dia mengingatkan saya bahawa kita sebagai atlet tidak sama seperti orang biasa, kita perlu bekerja keras untuk berjaya," katanya.