Hari ini menjadi dimensi baru dalam sejarah bola sepak Malaysia apabila teknologi video bantuan pengadil (VAR) pertama kali digunakan dalam saingan peringkat domestik di negara ini.

Dalam aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan melibatkan pasukan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan di Cheras, yang disiarkan secara langsung di Astro Arena Bola saluran 803 ketika ini, teknologi berkenaan digunakan buat julung kalinya pada minit ke-18.

Ia untuk menyemak situasi di dalam kawasan penalti Negeri Sembilan apabila bola kelihatan terkena tangan pemain skuad Jang itu tetapi selepas semakan VAR, pengadil, Zamzaidi Katimin, memilih untuk sekadar memberikan sepakan penjuru.

VAR sekali lagi digunakan pada minit ke-35 dan kali ini, Zamzaidi melakukan semakan di monitor tepi padang dan memberikan penalti kepada KL City, termasuk kad kuning buat pemain Negeri Sembilan, Che Rashid Che Halim.