Pemain beregu badminton negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Vivian Hoo dan Woon Khe Wei akan dikekalkan buat masa ini untuk menghadapi dua kejohanan utama -- Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland serta Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost yang menyifatkan masa terlalu suntuk untuk memisahkan kedua-dua beregu
itu.

V Shem dan Wee Kiong perlu menghadapi kejohanan dunia di Glasgow, manakala Vivian dan Khe Wei akan membawa cabaran dalam beregu wanita di temasya Sukan SEA.

Meskipun kritikan hebat dilemparkan pada mereka, barisan kejurulatihan BAM akan melakukan penilaian terperinci bagi mengembalikan tahap prestasi terbaik mereka.

"Sukar untuk membuat keputusan, kami akan berbincang dengan barisan kejurulatihan. Saya berpendapat V Shem dan Wee Kiong memiliki masa untuk membuktikan kebolehan
mereka," kata Frost.

Jurulatih beregu lelaki, Jeremy Gan pula mengakui Wee Kiong tidak berada dalam keadaan yang baik ketika beraksi di Piala Sudirman.

Dia disahkan mengalami bengkak di bahagian lutut kanan, dan kini akan direhatkan sementara dan berkemungkinan tidak akan menyertai Terbuka Indonesia 24 Jun depan.

"Wee Kiong memiliki kecederaan di bahagian lutut dan pihak fisioterapi sedang melakukan tugas yang terbaik bagi memastikan kecederaannya tidak berlarutan," kata
Jeremy.