Ketua Pegawai Eksekutif baru Malaysia Football League (MFL), Giorgio Pompili Rossi, menganggap dirinya bukan ahli silap mata apabila turut mengakui tiada perkara boleh diselesaikan dalam masa sehari.

Ia membabitkan isu kewangan dan tunggakan gaji yang dialami beberapa pasukan dalam Liga Malaysia dengan Rossi mengakui perkara itu memerlukan kajian terperinci sebelum langkah terbaik diambil.

Ketika ditemui dalam sesi ramah mesra bersama media, bekas delegasi LaLiga di Malaysia itu bagaimanapun mengakui struktur Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi panduan terbaik dalam Liga Malaysia

"Saya tidak berada di sini untuk membuat sebarang janji. Penyelesaian akan hadir selepas berhubung dengan pihak pengurusan, bersama kelab dan beberapa proses lain untuk menambah baik saingan Liga Malaysia.

"JDT adalah juara banyak kali, ia adalah gambaran buat bola sepak berdasarkan pencapaian mereka di atas padang. Mereka mempunyai pengurusan yang baik, mereka punyai fasiliti yang baik juga. Saya berharap kelab lain akan bersaing dengan dengan mereka nanti." katanya kepada Nadi Arena.