Darwin Nunez telah menarik diri daripada skuad Uruguay selepas mengalami kecederaan hamstring ketika mengalami penyingkiran daripada Piala FA di tangan Manchester United.

Uruguay menyenaraikan 27 pemain menjelang aksi persahabatan berdepan Basque Country 23 Mac ini dan Ivory Coast tiga hari kemudian, dan Nunez tidak akan mengambil bahagian.

Penyerang itu bermain 120 minit ketika Liverpool tewas 4-3 di Old Trafford Ahad lalu, tersingkir di suku akhir sekaligus harapan untuk meraih quadruple tidak kesampaian.

Laporan mencadangkan masalah Nunez tidaklah begitu serius, namun Liverpool dan Uruguay mahu memastikan pemain itu kembali ke tahap terbaik dalam tempoh dua minggu berikutnya.

Nunez dijangka akan kembali beraksi untuk Liverpool ketika melayan Brighton dalam Liga Perdana Inggeris pada 31 Mac, menjelang perlawanan menentang Sheffield United dan Manchester United.

Sebelum mereka beralih tumpuan kembali ke Liga Europa, dengan perlawanan pertama suku akhir menentang pasukan Serie A, Atalanta.

Klopp mengesahkan selepas perlawanan di Old Trafford bahawa Liverpool berdepan lebih banyak masalah kecederaan. Dia berkata, “Sekarang, pemain-pemain akan bersama skuad kebangsaan. Semoga mereka kembali sihat. Lucho (Diaz) mengalami kecederaan di pangkal paha, Darwin hamstring. Cody (Gakpo) pula cedera buku lali.”

Nunez akan kembali terlibat bagi baki musim ini dan kemudian bersedia untuk musim panas yang sibuk, dengan Uruguay terlibat dalam saingan Copa America.

Pasukan bimbingan Marco Bielsa memulakan kejohanan mereka pada 24 Jun menentang Panama, dengan Bolivia dan Amerika Syarikat juga diundi dalam kumpulan yang sama.