Penyerang Nottingham Forest, Chris Wood, tidak bercita-cita untuk menyaingi 'kegagahan' Erling Haaland dalam persaingan Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) walaupun selepas menjaringkan dua gol ketika menentang Leicester City di Stadium King Power awal pagi tadi.

Wood kini mengumpulkan tujuh gol musim ini selepas menyumbang dua gol dalam babak kedua, membantu kemenangan 3-1 Forest ke atas Leicester.

Hanya Erling Haaland dari Manchester City mencatatkan jumlah gol lebih tinggi berbanding Wood musim ini dengan 10 gol EPL.

Untuk rekod, kesilapan James Justin dalam memngeluarkan bola memberikan peluang kepada Ryan Yates untuk membuka jaringan dan hantaran lemah dari Harry Winks dan tandukan tersasar dari Wout Faes dimanfaatkan oleh Wood untuk menjaringkan dua gol peribadinya dalam perlawanan itu.

"Saya hanya mahu terus menjaringkan sebanyak mungkin. Haaland pemain yang sangat gagah dan mungkin akan mencapai 30 gol musim ini.

"Ini semua tentang konsistensi dalam apa yang Nuno (Espirito Santo, pengurus Nottingham) telah usahakan. Kami semakin baik berbanding musim lalu tetapi kami juga kerap bolos dengan mudah," kata Wood.

Nuno juga memuji prestasi cemerlang Wood, menyatakan bahawa Wood layak menerima segala pujian pada ketika ini.

"Dia telah melakukan kerja yang hebat. Dia sangat jujur dan memberikan segalanya di atas padang untuk kami," katanya.