Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, memilih untuk bersemuka dengan Ivan Mamut dalam masa terdekat selepas pemain import itu sekali lagi sengaja menimbulkan kekecohan sebaik tamat aksi di Stadium KLFA, malam tadi.

Steinbruckner berang dengan tindakan Mamut tetapi bagi memastikan dia rasional menangani isu ini, pengendali itu terlebih dahulu perlu meredakan kemarahannya sekalipun mengakui gelagat kurang bijak anak buahnya tersebut yang hanya mengundang kesusahan pasukan.

"Saya juga berasa marah di dalam fikiran ketika ini. Mungkin saya akan mengatakan sesuatu yang tidak enak dan keesokan harinya rasa kesal dengannya (kejadian itu).

"Saya tidak mengatakan bahawa tindakan saya tepat tapi selepas bangun tidur keesokan harinya, pasti saya lebih bijak daripada sebelumnya," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Skuad Peteh bangkit untuk mengikat Kuala Lumpur City 3-3 untuk sekurang-kurangnya mmbawa pulang satu mata berharga.







Justeru, ketua jurulatih tuan rumah, Bojan Hodak, pula menganggap 45 minit kedua umpama malapetaka buat anak buahnya.

"Kalau saya tahu sebegini, ketika rehat saya sudah bertindak menukar 4-5 pemain kerana dalam babak pertama, saya fikir corak permainan kami mantap malah jaringan yang kami bolosi juga melalui tuah.

"Pihak lawan hanya mampu melancarkan satu percubaan dan kami mendominasi separuh pertama dengan tiga gol dan patut menjaringkan lebih banyak lagi.

"Tapi selepas bilik persalinan, kami ada melaungkan kata-kata semangat tapi tidak beraksi bagus.

"Saya tidak pasti adakah ia disebabkan kelesuan gara-gara perlawanan lalu atau mereka sudah meraikan kejayaan tiga gol itu.

"Mungkin ini perlawanan paling menarik bagi kami dalam tempoh 45 minit dan juga terburuk dalam masa 45 minit," katanya.