Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, menegaskan kontroversi yang sedang melandanya ketika ini tidak akan menjejaskan tumpuannya dalam Kejohanan Badminton Dunia BWF di Copenhagen bermula esok.

Nama Zii Jia hangat diperbincangkan dalam kalangan peminat sukan negara susulan kenyataan jurulatihnya, Wong Tat Meng, yang meluahkan rasa terkejut selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak membenarkan pemain-pemain profesional mengenakan pakaian sukan jenama selain daripada penaja badan induk itu jika mahu berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Zii Jia turut membalas hantaran yang dibuat Tat Meng itu sehingga mendapat kritikan daripada peminat di tanah air, termasuk legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Mengulas mengenai perkara itu, Zii Jia dalam satu temu bual eksklusif bersama wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani, berkata: "Bagi saya, jurulatih Wong mempunyai hak untuk bersuara. Semua orang kini memiliki hak untuk bersuara. Saya hanya boleh menghormati pandangannya terhadap perkara ini.

"Secara peribadi, ia agak aneh apabila secara tiba-tiba ada peraturan seperti itu kerana sebelum ini, kami menjalani latihan seperti biasa sahaja.

"Jadi, kami menganggapnya sebagai program persiapan ke Kejohanan Dunia tetapi tidak tahu apa berlaku, secara tiba-tiba ia berubah. Itulah yang berlaku.

"Sudah pasti kita dapat lihat tahap saya dan (perseorangan negara, Ng) Tze Yong juga sudah semakin rapat, jadi itu salah satu sebab kami berlatih bersama.

"Bukan saya sahaja dapat manfaat (berlatih bersama BAM) kerana Tze Yong juga dapat meningkat dengan banyak.

"Saya sentiasa mahu membuktikan sesuatu dalam setiap kejohanan, termasuk kejohanan yang besar seperti ni.

"Kejohanan ini membawa makna yang besar buat rakyat malaysia, jadi harap-harap saya dapat membuktikan sesuatu," katanya.

Ditanya mengenai teguran yang diberikan Chong Wei, Zii Jia menjawab: "Seperti yang saya katakan tadi, semua orang mempunyai hak untuk bersuara.

"Tetapi sudah pasti kami kekal dengan pendirian kami dan sudah pasti saya menyokong dan menghormati keputusan jurulatih saya."