Daripada Kejohanan Badminton Remaja Dunia ke Kejohanan Dunia, itulah kisah gandingan meningkat naik beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, yang tidak berselindung di sebalik keterujaan bakal buat penampilan sulung di pentas tertinggi badminton antarabangsa.

Meskipun baru digandingan Disember 2022, Tang Jie-Ee Wei sebenarnya pernah memenangi pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia ketika edisi 2016 di Bilbao, Sepanyol dan ini reaksi mereka selepas menguji gelanggang di Royal Arena.

"Gelanggang telah diuji dan buat masa perkara ini, kami perlu mengelak daripada kecederaan dan cuba melakukan yang terbaik dalam saingan Kejohanan Dunia kali ini," kata Tang Jie menerusi Nadi Arena.

Tang Jie-Ee Wei, bakal memulakan kempen esok di Copenhagen dan turun sebagai pilihan ke-14 kejohanan dengan misi tambahan selain mara sejauh mungkin adalah untuk turut mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik.

"Tekanan itu ada, namun ia tidak seharusnya menjejaskan prestasi kami, kami perlu memastikan menghadirkan permainan yang berkualiti seperti dalam latihan," kata Ee Wei.