Perseorangan wanita negara, S. Kisona, bertekad untuk melupakan episod hitam yang mengganggu prestasinya musim lalu dan mahu bangkit dengan semangat berbeza dan berkeyakinan tinggi menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Shah Alam bermula selasa depan.

Pemain berusia 23 tahun itu mengakui dia perlu memainkan watak penting untuk mengutip mata buat skuad negara dalam saingan Kumpulan Y, yang turut menghimpunkan dua kuasa besar, Jepun dan India.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkfly, dia berkata: "Penetapan minda saya adalah perkara yang paling penting selepas apa yang berlaku tahun lalu, jadi kali ini, saya mahu masuk ke gelanggang dengan lebih yakin berbanding sebelum ini.

"Kerana Jika anda tiada keyakinan, anda tidak boleh melakukannya, jadi saya rasa keyakinan adalah kuncinya untuk saya tahun ini dan itulah persediaan saya.

"Benda yang sudah lepas, tiada apa boleh kita lakukan. Sasaran saya memang untuk menyumbangkan satu mata buat pasukan kerana saya adalah perseorangan pertama.

"Satu mata itu akan memberikan keyakinan buat rakan sepasukan saya, jadi saya mahu buat yang terbaik walaupun sedar ia sesuatu yang sukar," katanya.