Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Seluruh England selepas menundukkan pasangan dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung Utilita Arena, England, itu menyaksikan Tang jie-Ee Wei terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan dalam masa 57 minit.

Dalam set pertama itu menyaksikan pasangan dari Malaysia mudah menumpaskan beregu Thailand 21-14.

Bagaimanapun, dalam set kedua, banyak kesilapan mudah dilakukan pasangan negara dan kebangkitan lawan dengan serangan yang lebih kemas memberi ruang buat beregu di kedudukan keenam dunia itu mengambil kesempatan mengheret ke set ketiga dengan kemenangan 12-21.

Dalam set penentuan, Tang Jie-Ee Wei kembali memperkemaskan permainan dengan disiplin yang lebih tinggi untuk terus cemerlang melangkah ke pusingan kedua menyingkirkan lawan 21-15.

Ini merupakan kemenangan kedua Tang Jie-Ee Wei sepanjang lima pertemuan dengan Puavaranukroh-Taerattanachai, dengan tiga lagi menyaksikan mereka tewas.