Davide Calabria menyifatkan kegagalan penyudah sebagai punca AC Milan tumbang 0-3 kepada Paris St Germain (PSG), tetapi percaya mereka masih mampu meneruskan kemaraan dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Tuan rumah meraih kemenangan selesa 3-0 awal pagi tadi untuk menguasai kedudukan teratas Kumpulan F sementara kelab Serie A tersebut terperosok di tangga tercorot.

Jaringan Kylian Mbappe, Randal Kolo Muani dan Lee Kang-in itu menyaksikan PSG memadam kekecewaan 1-4 kepada Newcastle awal bulan ini tetapi bagi Calabria, perjuangan mereka masih belum padam selepas buntu tanpa jaringan ketika bertemu Newcastle United dan Borussia Dortmund.

"Terdapat penyesalan untuk dua perlawanan pertama tetapi hari ini PSG jelas pasukan yang lebih baik dan lebih teratur," kata Calabria kepada Amazon Prime Video Italia.




“Kami gagal memanfaatkan peluang yang ada.

"Mereka menemui jaringan dalam peluang pertama dan inilah kekurangan kami.

“Seperti yang saya katakan, penyesalan sebenar adalah dalam dua perlawanan terawal kerana dari situlah kami patut mengutip lebih banyak mata.”