Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, terpaksa melupakan khidmat kapten pasukan, Martin Odegaard, yang akan diketepikan sementara waktu susulan mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi buat Norway.

Tonggak berusia 25 tahun itu bergelut semasa membantu pasukan kebangsaannya menang tipis 2-1 ke atas Austria dalam saingan Liga Negara-Negara pada 9 September lepas dengan menyaksikan dia pulang semula ke kelab dalam keadaan bertongkat.




Odegaard terlepas beraksi ketika perlawanan 'derby' Arsenal menentang Tottenham minggu lalu dengan Arteta mendedahkan mengenai status pemain itu menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Atalanta, awal pagi esok.

"Selepas melakukan pemeriksaan menunjukkan dia mengalami sedikit kecederaan pada ligamen di buku lali.




"Ia sesuatu yang agak jelas, maka kami terpaksa melupakan khidmat Odegaard buat sementara waktu.

"Dia merupakan kapten kami. Dia adalah pemain penting dan terbaik dalam pasukan kini. Identiti kami beraksi adalah berdasarkan cara dia bermain di atas padang. Ini adalah ujian besar buat pasukan untuk melihat sejauh mana kami mampu beraksi dengan corak yang berbeza." katanya.