Wilayah Persekutuan terus melebarkan penguasaan dalam acara gimrama, Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 apabila menambah satu lagi pingat emas dalam acara gelung di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching hari ini.

Irama dan lagu berpisah tiada. Begitu juga dengan Cassidy Tan menerusi lenggok tubuhnya yang diiringi latar muziknya dengan persembahan memukau.

Beraksi dalam acara kegemarannya itu, Cassidy bersaing hebat dengan rakan sepasukannya, Nur Zhafirah Wong, sebelum keputusan juri lebih memihak Cassidy.

Pada ketika rakan sebayanya berada dalam kelas tingkatan 1, Cassidy pula bijak mencaturkan masa depannya, baik daripada segi akademik mahupun di pentas gimrama.

"Saya rasa saya hanya melakukan yang terbaik dan ia di luar jangkaan saya," katanya kepada wartawan Astro Arena, Karl Nunis.

"Saya hanya mahu melakukan yang terbaik untuk negeri saya dan saya rasa saya dapat melakukannya dengan baik tetapi saya tahu saya masih boleh memperbaikinya.

"Ayuh Wilayah Persekutuan!" katanya.