Durian runtuh berjumlah RM41,000 menjadi milik perenang kebangsaan, Muhammad Dhuha Zulfikry, yang meraih enam pingat emas, dua perak serta memecahkan empat rekod Sukan Malaysia (Sukma), Ogos lalu.

Dia turut dinobat atlet lelaki terbaik Sukma XXI Sarawak 2024 ketika mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan.

Dhuha mencipta sensasi dalam Piala Dunia Renang Akuatik 2024, minggu lalu, apabila memecah rekod kebangsaan 1500m gaya bebas lelaki berusia 35 tahun di Shanghai, China.

"Saya sangat gembira dapat memecah rekod 1500m gaya bebas lelaki selain layak layak ke Kejohanan Dunia, Disember depan. Saya sangat teruja menerima insentif ini.





"Catatan bawah 15saat 1500m gaya bebas itu sebenarnya dah cukup tetapi saya akan cuba melakukan yang lebih baik dalam Piala Dunia di Singapura minggu depan," katanya di Nadi Arena sebentar ini.

Sementara itu, perenang wanita, Chong Xin Lin, turut menerima RM28,500 selepas muncul atlet wanita terbaik Wilayah Persekutuan atas pencapaiannya memenangi empat emas, dua perak dan juga memecahkan tiga rekod temasya.





"Ketika bertanding, jurulatih berpesan agar saya tidak tertekan untuk bersaing dengan olimpian," katanya.

Wilayah Persekutuan yang memungut 75 emas, 65 perak dan 73 gangsa memperuntukan RM1.4j bagi program insentif hari ini.